Sejarah Maktab Rendah Sains MARA Taiping

MRSM Taiping merupakan MRSM yang kelapan dibina oleh pihak MARA. Pembinaannya telah dimulakan pada tahun 1981 dalam kawasan seluas 50 ekar di kaki Bukit Larut dan berhampiran dengan Taman Tasik Taiping yang permai. Sehingga hari ini sebahagian daripada kawasan maktab ini masih kekal dalam keadaan asalnya dengan tumbuhan yang menghijau. Sebuah tapak yang sesuai telah dipilih di atas Lot 5180. Keluasan Lot ini adalah 50 ekar terletak di Mukim Tupai, daerah Larut, Matang dan Selama, Perak. Lokasi tersebut sungguh menarik dan indah dengan berlatarbelakangkan Bukit Larut (Maxwell) yang menghijau dan di pinggir sebuah Taman Tasik Taiping yang terkenal di negeri Perak, sungguh ideal untuk sebuah institusi pendidikan. Kos pembinaan Maktab ini adalah berjumlah 11 juta ringgit. Kawasan pembinaan telah melibatkan hampir 40 ekar dan bakinya adalah dikekalkan flora dan fauna aslinya, untuk kegunaan hutan rekreasi dan kajian bagi pelajar-pelajarnya. Maktab ini telah beroperasi pada tahun 1983 dengan pengambilan pelajar seramai 286 orang pelajar Tingkatan 1 dan 2. Pelajar-pelajar maktab ini telah menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang sejak dari kumpulan pertama lagi. Pada 1 Julai 1983, MRSM ini telah mula mengambil pelajar-pelajar perintisnya seramai 286 orang. Pada 29 Jun 1987, MRSM Taiping telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Perak. Pada 2 Januari 2005, projek peningkatan MRSM Taiping dilaksanakan. Projek ini melibatkan pembinaan 1 blok bangunan pentadbiran, 8 unit rumah guru dan juga rumah pengetua.